..

Photobucket

Monday, July 5, 2010

::Biarkan Saja::



Biarkan saja
Biarkan ku benam garis-garis luka
Ke dalam lumpur jiwa
Biarkan ia berlumuran mengaburi mata
Dan membusuk menaungi suasana
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan mewangi mengiringi hari

Biarkan saja
Biarkan kasih yang menimbun dinodai
Biarkan cinta bertahun disalah erti
Janji menggunung terbiar sepi
Dan kesetiaan berkurun dicurangi
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan meredhai balasan nan pasti.


Biarkan saja
Biarkan sejarah hitam berlalu
Biarkan tangisan silam mengalir lesu
Dan kekecewaan karam di lautan palsu
Demi ketentuan Yang Satu
Yang kan menyuburi keikhlasan hatimu


Biarkan saja
Keikhlasan ini tertindas
Biarkan saja
Ketulusan ini terbias
Kerana hanya Dia yang berhak membalas
Sebuah pengorbanan nan suci ikhlas...


~:::~

Keikhlasan hati sebenarnya senjata paling ampuh dalam mendepani apa jua ketentuanNya.. Ikhlas membawa kita pada sebuah kesabaran sekaligus membuatkan hati dipenuhi kekuatan menempuh apa jua ujian... Ikhlas juga membimbing kita untuk menikmati erti keredhaan yang akan mematangkan pengalaman dalam menilai setiap langkah-langkah perjalanan.. Paling penting, ikhlas membunuh bait-bait kekecewaan yang lahir dari sebuah penyesalan dan membelai hati dengan nyanyian syukur pada rasa yang diterima. Sesungguhnya terlalu indah keikhlasan itu.. Dan hanya hati yang benar-benar ikhlas dapat merasai kemanisannya..
Maka, Pejamkan matamu, Ikhlaskan hatimu...dan Sempurnakan perjuanganmu..
Wasalam..

p/s: Salam penghargaan buat teman; melatidaisy atas ilham untuk diriku menukilkan nukilan ini..Dan gambar cantik penghias entry..Jazakallah..





1 comment:

  1. salam,

    keikhlasan itu harta kita dan kesabaran itu lah pengubat duka, sesekali langit hitam menyelubung lantas sejenak hati kebasahan di hujani kepiluan yg berkabung,namun hati masih tersenyum menanti indahnya pelangi,kerana ku masih meyakini bahawa Janji itu pasti.

    syukran utk nukilan ini,semoga kita terus diberi kekuatan agar sentiasa ikhlas dalam menyempurnakan perjuangan.ameen..barakallahu fik..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails