..

Photobucket

Tuesday, March 30, 2010

~AntaRa Api Dan DuRi..~


Tika dihadapanmu penuh berduri..

Dan dibelakangmu penuh berapi..

Kenapa tidak kau memalingkan wajah mu ke langit

Yang terbentang menaungi segenap hidupmu..

Kerana di ataslah tersimpan segala jawapnya

Disitulah terpampang semua hikmahnya

Maka hanya padaNya wajar kau pasrahkan

Dan untukNya jua layak kau korbankan..

Tiadalah sukar untukmu memilih

Andai perjuanganmu suci dan bersih..

Tiadalah wajar untukmu berdalih

Lantas membiarkan butiran persoalan menjadi tasbih..

Biar terluka dalam perjalananmu nanti

Kerana itulah sebenarnya parut-parut kemenangan.

Biar terbakar dalam pengunduranmu ini

Kerana itulah sesungguhnya abu-abu perjuangan..


p/s : Kekadang bila tibanya di persimpangan dalam kehidupan, kita seringkali cuba mencari arah yang betul untuk meneruskan perjalanan.Perasaan buntu dan tidak menentu membuat langkah kita terhenti... Kemudian, Betulkah arah yang telah ku pilih selama ini? Bahagiakah langkah yang bakal ku hayun nanti? Mampukah hati menerima kenyataan yang belum pasti? Atau mungkinkah berulang babak yang pernah melukai hati? Itulah antara persoalan-persoalan yang Diriku yakin sentiasa menjengah tatkala tibanya di persimpangan.Namun yakinlah bahawa setiap daripada kita tidak pernah tersalah memilih..Bahkan setiap pilihan-pilihan itu telahpun ditentukan. Maka Diriku yakin bahawa pilihan yang kita buat tetap yang terbaik untuk kita seandainya kita sentiasa redha dan bertawakal padaNya..

Dan yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dalam apa jua yang tidak kita ketahui... Maka, Teruskan perjalananmu walau berliku kerana itulah sebenar-benar perjuangan.. Yang akan menghasilkan madu-madu kemenangan.. Dan menyerlahkan hakikat sebuah kehidupan..Walahualam..

'...Biar kalah dalam melangkah, dari mengalah pada rasa bersalah..'

Wednesday, March 24, 2010

ERTi LauTaN..

Salam..
Menghabiskan sepetang di tepian pantai seringkali memberikan ketenangan tidak terhingga buat Diriku.. Merenung jauh hikmah dan kekuasaan Yang Maha Esa menjadikan Diriku lebih menginsafi betapa kerdilnya diri ini di bumi Ilahi. Tidak terhitung nikmatNya yang menciptakan alam ini yang sarat dengan misteri dan keindahan. Penuh dengan erti dan kebesaran. Walau berjuta tahun bertapa di atas hamparan pantai ini, tentunya belum mampu Diriku menterjemah segala hikmah tersembunyi.. Lantas teringat pada firmanNya....

"Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur. (Luqman:31)"

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al- Baqarah:64)

Maha SuciNya yang telah menjawab persoalanku, sejak beribu-ribu tahun yang lalu..Terduduk seketika menyaksikan betapa luasnya lautan di hadapan Diriku..Tidak terselam misteri yang terdampar di dasarnya sebagaimana tidak terkira butiran-butiran pasir yang memutih di pantai ini..Namun, setidak-tidaknya, semua ini membuatkan Diriku terasa semakin dekat denganNya.. Dan lebih mengerti bahawa ketentuan kehidupan ini terlalu besar untuk difahami..Tiada yang mampu Diriku lakukan melainkan menyirami benih-benih keredhaan untuk menghadapi setiap ujian dan dugaan sambil terus berjuang mencari kesempurnaan dalam kehidupan..Kerana kehidupan ini sememangnya sangat mencabar kecuali orang-orang yang bertakwa dan dekat padaNya...Insyaalah..

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An'aam:32)

Peliharalah Diriku,Ya Rahmann..
......
Bimbinglah Diriku, Wahai teman..
....................
Teruslah bersamaku, Wahai lautan..
...........................................

Diriku..
@ Kemaman, Terengganu Darul Iman.


Saturday, March 13, 2010

~Sejadah Cinta..~


Berbicara tentang cinta,
Terhidang segenap erti dan makna
Lukisan jiwa menyerlah bahagia
Potret hati mewarnai rasa

Namun fitrah cinta yang hakiki

Hak abadiMu Ya Rabbul 'Izzati.


Demi secebis cinta yang sementara

Rela menggadai denai ke syurga

Menghumban maruah ke lembah dosa

Hingga terlena di ranjang durjana

Berselimut maksiat berbantalkan noda

Namun anehnya,

Pasrah mengharap pintu taubat terus terbuka..?


Demi terjemahan sebuah kebahgiaan

Tanpa sedar tersemailah benih-benih kemusnahan

Yang diagungkan sebagai pengorbanan

Demi sebuah percintaan

Dek kerana kusyuk berkiblatkan nafsu

Bersunnahkan irama berhadithkan lagu

Namun anehnya..
Gerun mendengar talkin ke barzakh yang sayu..?

Pulanglah...

Pulanglah cinta ke dunia nyata

Sujudlah di sejadah cintaNya

Kerana Dialah yang Maha Pencinta

Dan rahmatNya adalah sebenar-benar bahagia...

p/s: ~Cinta yang sebenar adalah kasihsayang yang terbit dari hati yang ikhlas dan jiwa yang redha pada sesebuah ikatan serta ketentuan.. Cintalah pada Maha Pencipta, kemudian cintailah pada keluarga maka insyaallah 'dia' pastikan datang bersama cintanya untuk melengkapkan cintamu pada kedua-duanya..Maka usahlah mengejar sesuatu yang telah ditentukan dan kadangkala telah hadir di depan mata tanpa kita sedarinya... Wallahualam..~

Wednesday, March 10, 2010

Menakhoda Pelayaran..


Samudera yang luas terbentang
Saujana pancaindera ini memandang
Seolah membawa jutaan erti
Bahawa begitu jua hidup ini
Yang mengutus dugaan tiada bertepian
Yang membaris kenyataan tiada berkesudahan
Didalamnya diam tersembunyi seribu rahsia
Sarat dengan misteri dan tandatanya
Manakan mungkin terungkai semua
Cukuplah sekadar disentuh dengan pengetahuan
Dan diselami dengan pengalaman
Agar tidak lemas bersemadi di dasar kelekaan


Lantas di toleh ke tepi
Ahh, suburnya terjemahan setia sang pantai
Sabar menanti di bawah terik mentari
Sambil memerhati sang ketam menjalar ke sana sini
Biar hanya ditemani bebuih kenangan
Yang meresap dan menghilang dicelahan pepasir halus
Namun ia tetap hadiah bermakna
Dari sang ombak yang sesekali membelai
Bersama alunan gemersik sang bayu
Melagukan zikir ketenangan
Menjadi hiburan dan kekuatan saat kesunyian..

Betapa agungnya Maha Pencipta
Yang menciptakan keduanya
Akrab bersama tanpa dipisahkan
Saling menyempurna erti satu ikatan
Dan melengkapi hasrat sebuah perjuangan
Sejak semalam hinggalah ke hari pengadilan..

Terima kasih laut
Atas pengertian yang ku miliki..
Terima kasih pantai
Atas kesetiaan yang kau beri...
Moga tidak ku terkhilaf lagi
Dalam menakhodakan pelayaran roh ini..



Tuesday, March 9, 2010

Noktah Harapan..


Adakalanya..
Dalam kehidupan..
Kita tercari-cari erti..
Mencabar dan di cabar..
Mengejar dan dikejar..
Mengguna dan diperguna..
Menyalah dan dipersalah..
Berpacakkah impian, bernoktahkah harapan..
Andai..Yang dikejar tak dapat,yang dikendong jua bertaburan..

Bertanya pada hati ini..
Apakah masih mampu terus bermimpi?
Atau redha menanti mentari esok menjelma lagi
Yang pasti terbit bersama gerimis ketentuan
'Yang pasti muncul bersama pelangi kehidupan..
Maka biarlah diriku basah dalam dingin kesyukuran..
Dengan restuMu..Oh Tuhan..
Related Posts with Thumbnails