..

Photobucket

Thursday, July 8, 2010

::Hanya Seutas Pengorbanan ::


Hampir sejam berlalu namun hujan masih belum mahu berhenti.Sesekali kilat menyabungkan cahaya bersama ngauman guruh bergema menguasai suasana. Kelibat ayah dan mak belum jua kelihatan. Aku tercari-cari kehadiran mereka di celah-celah titisan hujan yang kian lebat.
"Mungkinkah mereka singgah di rumah Mak Usu sementara menanti hujan reda?", getus hatiku cuba mematah kerisauan yang mulai tumbuh. Entah kenapa mak beria-ia mengajak ayah ke pekan selepas zohor tadi sedangkan mak tahu malam ini aku akan bertolak ke KL setelah cuti semester mulai berakhir. Sepatutnya aku habiskan petang sebegini bergurau senda dengan mereka; setidak-tidaknya menikmati goreng pisang panas yang aku siapkan sebentar tadi.
"Angah, mak cakap nak balik lewat ke?", soalku pada adik yang leka menonton TV seolah tidak menyedari kerisauan yang menghuni di benakku sejak tadi. Gelengan lemah kepalanya bingkas menjawab pertanyaanku itu.Huh, aku hampa.
Aku menutup kembali jendela pintu, sekaligus menghalang kesejukan suasana terus menceroboh masuk ke dalam ruang tamu. Kerisauan masih menguasai namun beg pakaianku masih belum dikemaskan. Pakaian-pakaian masih lagi berselerak di atas katil. Malas jelas menguasai diri dan hati pula sejak beberapa hari lepas mulai menganyam kerinduan pada kenangan indah yang telah dikutip. Hiruk pikuk kota pun tidak mungkin mampu memadamkan setiap memori yang diwarnai ketenangan dan kedamaian di desa kelahiranku ini.Itu aku pasti, dan kerana itu jugalah aku terasa berat untuk mengemaskan beg pakaian ini.Sekali lagi aku terpaksa jua.

Seketika kemudian nama manjaku dipanggil. "Along! Along!.", sayup kedengaran suara emak cuba menarik perhatianku dari luar bilik. Aku bergegas keluar sambil menatang kerisauanku pada mereka sejak tadi. Alhamdulilah, syukur padaNya kerana kedua orang tuaku selamat pulang walau tampak agak kebasahan dan nyata sekali kepenatan.
"Dah siap kemaskan beg, Along?", emak mematikan pertanyaan yang ingin aku lahirkan sebaik menyambut mereka di ruang tamu."Dah,mak..", pantas aku menjawab. Kerisauan yang menguasai mulai surut sedikit bersama hujan yang kian reda.Senyuman manis mak lantas mengebumikan terus kerisauanku. Lagipun ayah dan mak tentunya penat selepas sejam menaiki kereta yang aircondnya rosak sejak tahun lepas itu. Tidak kena rasanya aku terus bertanya soalan yang memenatkan fikiran sedangkan kesyukuran telahpun aku zahirkan dengan membalas senyuman mereka.

"Along, malam ni ayah dan adik je yang hantar Along ke stesen bas. Mak ada kuliah agama di surau selepas isyak. Minggu ni minggu akhir,rugi tak pergi..", kata Mak tersekat-sekat kerana mengunyah goreng pisang yang terhidang. Ayah menuju ke bilik, menyalin baju agaknya.

"Alaaa..Mak nie.Jom lar..", Aku cuba memujuk dengan harapan yang tipis mengenangkan Mak adalah AJK surau yang membuat kutipan duit untuk membayar saguhati penceramah malam ini.Manakan mungkin dia tidak hadir. "Takpe lah, Along. Ayah hantar dah cukuplah tu." Mak menutup peluangku.Aku faham cuma sedikit sedih. Namun ku berbangga dengan usaha Mak dan rakan-rakannya yang sentiasa cuba mendalami agama dengan pelbagai program yang segala dianjurkan melalui kutipan derma ikhlas. Dan wang derma itu datangnya dari hasil titik peluh mereka dengan menanam padi dan berkebun iaitu sumber rezeki utama para penghuni desa disini.

"Mak, mana rantai mak?",soalku bersahaja menyedari ada keanehan pada susuk tubuh wanita lewat 40-an dihadapanku ini.
"Ada Mak simpan kat bilik..Nak buat apa pakai pergi pekan tadi, malam nak pergi surau pulak.Kenapa? Mak nampak tak cantik ke?", seloroh Mak sambil ketawa lantas diikuti aku yang cuba menghabiskan goreng pisang yang makin hilang kepanasannya.Tinggal 3 potong lagi kami tinggalkan untuk ayah.
Tepat 7.45 malam, ayah memanggilku dari sebelah kereta kesayangannya; Proton Iswara 1.3S tahun 1995 berwarna biru gelap. "Cepat sikit.Nanti kelam kabut pulak..", Ayah menguatkan suara.
"Along pergi dulu yer Mak.." Aku mencium tangan halusnya selepas Angah bersalaman denganku.
"Baiklah..Jangan lupa telefon bila dah sampai nanti. Jangan lupa solat.Nah, belanja baik-baik. Kalau ada masalah,telefon kampung.Jangan main-main sangat.." Mak membebel sedikit tapi huluran sampul kecil berisi duit membuatku terangguk-angguk faham sambil tersenyum. Sayang Mak!
Dan beberapa ketika kemudian, aku mulai menghabiskan malamku dengan berusaha tidur di dalam bas ekspress yang meluncur laju membelah malam yang dingin menuju ke KL. Aku berjaya;untuk tidur.Namun aku masih gagal memujuk hati melepaskan dakapan kedamaian desa yang semakin jauh ku tinggalkan.


~~bersambung....~




Monday, July 5, 2010

::Biarkan Saja::



Biarkan saja
Biarkan ku benam garis-garis luka
Ke dalam lumpur jiwa
Biarkan ia berlumuran mengaburi mata
Dan membusuk menaungi suasana
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan mewangi mengiringi hari

Biarkan saja
Biarkan kasih yang menimbun dinodai
Biarkan cinta bertahun disalah erti
Janji menggunung terbiar sepi
Dan kesetiaan berkurun dicurangi
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan meredhai balasan nan pasti.


Biarkan saja
Biarkan sejarah hitam berlalu
Biarkan tangisan silam mengalir lesu
Dan kekecewaan karam di lautan palsu
Demi ketentuan Yang Satu
Yang kan menyuburi keikhlasan hatimu


Biarkan saja
Keikhlasan ini tertindas
Biarkan saja
Ketulusan ini terbias
Kerana hanya Dia yang berhak membalas
Sebuah pengorbanan nan suci ikhlas...


~:::~

Keikhlasan hati sebenarnya senjata paling ampuh dalam mendepani apa jua ketentuanNya.. Ikhlas membawa kita pada sebuah kesabaran sekaligus membuatkan hati dipenuhi kekuatan menempuh apa jua ujian... Ikhlas juga membimbing kita untuk menikmati erti keredhaan yang akan mematangkan pengalaman dalam menilai setiap langkah-langkah perjalanan.. Paling penting, ikhlas membunuh bait-bait kekecewaan yang lahir dari sebuah penyesalan dan membelai hati dengan nyanyian syukur pada rasa yang diterima. Sesungguhnya terlalu indah keikhlasan itu.. Dan hanya hati yang benar-benar ikhlas dapat merasai kemanisannya..
Maka, Pejamkan matamu, Ikhlaskan hatimu...dan Sempurnakan perjuanganmu..
Wasalam..

p/s: Salam penghargaan buat teman; melatidaisy atas ilham untuk diriku menukilkan nukilan ini..Dan gambar cantik penghias entry..Jazakallah..





Monday, June 28, 2010

~Maafkan Diriku..Hati~


Maafkan diriku, hati..
Melemparkan kegusaran lagi
Memenuhi dasarmu yang sepi
Hingga mengaburi rasionalisasi
Menjemput mendung di pagi ini..

Maafkan diriku, hati..
Menanam benih kebuntuan lagi
Membentes langkah longlai sepasang kaki
Seraya menyembahkan wajah ke bumi
Menambah luka silam yang lena menyepi..
Dan tangisan pada sebuah janji..

Ampunkan ku, Ya Allah..
Andai kekhilafan ini belum ternoktah
Sesungguhnya diriku insan yang lemah
Bersama kasihMu daku beristiqamah
Moga perjalanan ini masih berarah
Dan hati ini terus tabah..

Maafkan diriku, hati..
Walau dikau setia di sisi..
Ampunkan Diriku, Ya Ilahi..
Kerana Dikau Maha Mengetahui..

~::::::~

Saturday, June 26, 2010

::~Dia Jua Maha Mengetahui ~::



Persoalan-persoalan hati sentiasa bermain di fikiran diri, berlegar-legar mencari rahsia sebalik misteri dan kadangkala menemui jawapan yang tiada pasti.. Sebagai insan biasa yang diciptakanNya, akal ini sebenarnya terbatas dan sudah pasti tiada sempurna. Namun Yang Maha Pengasih tidak mungkin membiarkan hamba-hambaNya terkapai di tengah lautan ujian, lemas terdampar di pantai harapan dan terbujur kaku di kafan impian.. Maha Sucinya yang menyembunyi sejuta keajaiban dan kemustahilan yang tidakkan mampu kita tafsirkan dengan akal yang penuh kelemahan dan kekurangan. Hanya keimanan dan ketakwaan padaNya jua mampu membimbing diri untuk menyusuri kehidupan ini yang nyata penuh misteri..

Sesungguhnya, ketentuan itu adalah santapan setiap insan.. Santapan inilah yang akan memberikan khasiat tersembunyi untuk mematangkan hati untuk mensyukuri, menguat jiwa untuk meredhai dan menguat jasad untuk terus berdiri.. Namun, setiapkali di uji hati akan tertanya, jiwa akan meronta dan batin rasa tersiksa. Mengapa? Kenapa? Kerana kita terlupa, Dia jualah Yang Maha Mengetahui segala jawapannya..

OH..! KENAPAKAH AKU DI UJI ?
"Apakah Manusiaitu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ' Kami telah beriman', sedang mereka tidak di uji lagi?Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah Mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta"
(Surah Al Ankabut :2-3)

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAMKAN.?
..Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia mat buruk bagimu; Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui.." (Surah Al -Baqarah : 216)

KENAPA UJIAN SEBERAT INI.?
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai
dengan kesanggupannya.."
(Surah Al-Baqarah :286)

KECEWANYA HATIKU.
"Jangan kamu bersikap lemah,dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.."
(Surah Al-Imran:139)

BAGAIMANA HARUS KU HADAPI SEMUA INI..?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.."
(surah Al-Baqarah:45)

APA YANG AKU DAPAT DARI UJIAN INI.?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Muk'min, diri dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga.."
(Surah At-Taubah: 111)

KEPADA SIAPA HARUSKU BERHARAP LAGI.?
"..Cukuplah Allah bagiku; tiada Tuhan selain Dia.Hanya padaNya aku bertawakkal. Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung.."
(Surah At-Taubah :129)

AKU TIDAK DAPAT BERTAHAN LAGI..!!!
".....dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.."
(Surah Yusof:87)

:::::::

Maka mengapa ditutupkan hati, dibutakan jiwa menerima hidayahNya.. Mengapa menangisi semalam sedangkan esok jua kan menjelma bersama ketentuanNya.. Teguhkan keimanan, suburkan ketakwaan, semoga kita diberi kejayaan yang tidak pernah kita impikan..
Berkat dari sebuah kesabaran dalam menempuh ujian dan
sesuci keredhaan menerima sebuah ketentuan..
Wasalam..


"Hai orang-orang yang beriman,bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.."
(Surah Al-Imran:200)

~Sebahagian entry adalah dari pemberian sahabat Diriku semasa di Caloundra,Queensland,Australia.. Dihulurkan ketika Diriku menempuh ketentuan yang hampir melumpuhkan semangat namun akhirnya mampu terbang kembali untuk menikmati duniaMu.Syukran,Jazz.Semoga anda jua bahagia dlm kehidupan~
~Barakallah~

Monday, June 21, 2010

:: Andai Ini Akhirnya::



Melangkah menjejak bayangan
Melewati liku-liku kenyataan
Terhenti sebentar di persimpangan
Untuk menghabiskan sisa bekalan
Yang ku kira hampir kehabisan
Sedangkan destinasi perjalanan
Masih jauh menyembunyi tujuan..

Menjamah keenakan bekalan
Mengisi rintih-rintih kelaparan
Terhenti seketika dalam kenikmatan
Menahan kepedihan balutan kelukaan
Yang ku kira semakin keparahan
Sedangkan penawar penyembuhan
Hanya masa dan secarik harapan

Menongkat diri bangun berdiri
Menghayunkan langkah namun rebah kembali
Bertaburan bekalan diri
Berselerak bersama mimpi-mimpi
Hujan kekecewaan mulai membasahi
Hati yang lama dipayung bayangan budi
Kini kesejukkan dalam dakapan realiti

Bersama pandangan lemah
Kedua tangan ini bertadah
Memohon padaMu Ya Allah
Andai ini akhirnya..... diriku pasrah..
Andai ini janjiMu.......... diriku berserah..

~:::::::::::~


Melewati masa-masa yang berlalu, kekadang kita lupa pada sesuatu..Bahawa setiap ketentuan itu ada kesudahannya.. Kerana setiap kehidupan adanya kematian, setiap pertemuan adanya perpisahan maka setiap ujian tentu juga ada balasannya.. Samada ia satu kegembiraan atau satu kesedihan yang pasti itulah pengalaman.. Pengalaman yang mematangkan, pengalaman yang mendewasakan.. Pengalaman juga yang memuat kita kenal erti keredhaan dan ketabahan yang sebenar-benarnya.. Langkah-langkah dalam kehidupan tiada bermakna andai di isi dengan hanya meratapi kesudahan sedangkan pengalaman yang kita miliki tidak pernah dihargai.
Diriku yakin hanya dengan menghargai sebuah pengalaman mampu membuatkan kita lebih bersedia menghadapi ketentuanNya dan mampu lebih ikhlas dalam mensyukuri keredhaan dan lebih cekal dalam mempertahankan kesabaran.. Maka, usahlah dirimu menangisi lagi ketentuan silam kerana itulah permata yang berkilau menyinari hari, menerangi malam...
Andai ini akhirnya, tiada ruang untuk menyesal.. Pohonlah rahmat dan kasih sayangNya agar kita sentiasa di beri petunjuk dalam setiap perjalanan hidup ini... Wasalam..

p/s: Maafkan Diriku kerana lama tak update hamparan ini, kesibukan kerja dan masalah broadband yang hilang membatasi kudrat untuk berkongsi rasa dengan anda semua.. Sesungguhnya semangat dan dorongan teman-teman sentiasa menyegarkan fikiran untuk terus menukilkan sesuatu untuk dikongsikan..Insyaalah..Salam ukhwah wa jazakallah alaik..

"Salam seindah lukisan awan.. setinggi penghargaan buatmu teman..atas nyalaan obor dalam kegelapan, cebisan cahaya menerangi kehidupan.." - Bayu

Friday, June 4, 2010

::PeRMATA HATi BONDA::


Hujan masih mencurah
Memercik sunyi sebening malam
Tatkala hati dibaluti resah
Merenungi denai kabur mengarak kelam
Berakhirkah penantian ini
terubatkah rindu ini lagi
Atau masih dikecewakan janji
Sebuah kepulangan yang hanya mimpi..

Senja mulai berlabuh tirai
Di saat sayup takbir azan bergema
Sekeping hati masih tersimpuh di tebing harapan
Memintal sisa-sisa impian
Moga menjadi temali kekuatan
Saat meredhakan apapun jua kesudahan
Meskipun mungkin nanti terbelit perasaan
Kecewa di akhir penantian..

Sebaik langkah longlai di hayun
Saat itulah sayup penantian bergema
Berpaling wajah digenangi airmata
Tanda meraikan sejuta syukur padaNya
Akhirnya pulang jua..
Ke halaman kasih semanis syurga
Akhirnya pulang jua..
Permata hati Bonda..

Dakapi Daku..
Kurindu cintamu..
Oh..Bondaku..

~~~:::::~~~~

Betapa indahnya perjalanan ini.. Betapa berdebarnya penantian di hati.. Saat melepasi simpang terakhir, jiwa bahagia berzikir.. Saat melewati kenangan desa yang lama di tinggalkan, hati melafaz kesyukuran. Sesungguhnya saratnya rasa kerinduan, seperti penuhnya air di lautan.. Dalamnya rasa kehilangan, pada detik-detik indah penuh kedamaian.
Pelukan, senyuman dan airmata ini tiada terbanding dengan segalanya. Tiada jua ada di mana-mana. Hanya di sini.. Pasti Di sini.. Di sisi Ibunda..
Keriangan sebenar memancarkan sinar, membelah kegelapan yang sekian lama menjadi teman.. Terubat hati yang sering dilukakan oleh rakus ketentuan yang tiada kesudahan..
Alhamdulilah.. Ku pulang jua..
Alhamdulilah, Dirikulah Permata Bonda..

.p/s: Salam keredhaan buat semua teman-teman yang setia mengikut hamparan ini. Diriku sedang menikmati percutian di sisi keluarga tercinta untuk seketika.. Mohon maaf sekiranya tiada entry terbaru untuk seminggu yang berikutnya..Insyaalah moga bertemu lagi di sini andai diberi rezeki dan kemudahan di desa ini.. ( Harap2 Broadband OK) Insyaalah..
Sentiasa ceriakan hati, tersenyum pada diri kerana hanya kita yang kenal siapa kita di sisi Ilahi.. Kita jua yang tahu apa sebenarnya tersimpan di dasar lautan perasaan biarpun belum pasti bilakah tiba gelombang ketentuan yang akan memercik titisan ujian.. Bersabarlah.. Redhakanlah..
Jazakallah wa barakalah alaikum..
Wasalam..

Diriku ~ Kedah Darul Aman.~

Wednesday, June 2, 2010

:: Di SAAT UKHWAH BERTASBIH::


Tersujud rasa mensyukuri sejuta makna
Menokhtah derita yang mengalir sekian lama
Ukhwah yang ditasbih melengkap satu redha
Menyemaikan kasih terbiar sekian lama
Membebaskan cahaya dari gelita
Dan keindahan cinta yang palsu belaka..
Terzikir rasa meredhai seribu duka
Membaluti luka yang tercalar begitu lama
Ukhwah yang terjalin menghembus bayu rasa
Menyubur sayang yang tersembunyi di celahan masa
Meninggalkan segenap sirah derita
Dan kesucian pengorbanan yang entah untuk apa..

Ya Allah yang Maha Mengetahui..
Puas sudah menilai kekuatan diri
Puas juga meneka kelemahan hati
Namun setiapkali hanya mampu menyesali
Kegagalan dan kealphaan hati
Dalam menilai sebujur taubat dan janji...

Ku memohon dariMu,Maha Pengasih
Basahkan pasir-pasir ini dengan belaian bebuih
Agar pantai tiada lagi merintih
Merindu karang-karang indah di lautan kasih
Di Saat ukhwah bertasbih..


~~~~:::::::~~~~


Bayu pernah meniupkan hembusan ini :
"Akan ku cuba sematkan senyuman di sebalik duka persis percikan sinar mentariNya,
di celah rimbunan belantara.
Dan akan ku iramakan zikir syukur membelah arus lautan yang
bergelut agar bertaut ombak-ombak keresahan lalu melukiskan riak senyuman..
..dalam kesyukuran..."


Saturday, May 29, 2010

~~Menanti CahAya Dalam KekabuRan..


Dalam kekaburan senja..
Merangkak lemah di bawah timbunan dosa
Mencari ruang menjamah cahaya
Yang semakin suram sinar kerdipannya
Namun jemari ini terus jua
Cuba membebaskan jasad dari kekhilafan silam
Melerai belenggu waja penuh dendam
Dan rintih mengharap keampunan Pencipta alam..


Dan Malam pun kian pekat
Manakah arah lagi untuk ku melangkah
Seringkali jejak-jejak ini diiringi rebah
Menyembah bumi kurniaanMu Ya Allah..
Hingga tersungkur mengalirkan darah..
Yang tidak lagi berwarna..
Mungkin jua tiada lagi bermakna..
Gawatnya jiwa meronta
Menghitung kebesaran dugaan Yang Esa
Yang entah sampai bila


Kini Diriku masih di sini
Meredah kedinginan dinihari
Menanti cahaya yang pasti kembali
Menerangi arah yang hakiki
Berbekal sisa-sisa mimpi
Namun terus jua berzikir menanti
Terbitnya Cahaya dari timur
Biarpun masih jua kabur..

~~~~~~~~~~::::~~~~~~~~~



" Apabila kamu letih berbuat kebaikan,maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan kekal..Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal bersamamu.." (Saidina Ali r.a.)

Friday, May 14, 2010

~ Sesudah Badai Berlalu~


Berarak awan hitam semalam..
Membawa kisah pilu penuh tragis..
Mencoret rasa duka terpendam..

Membelah jiwa merintih menangis..
Hebatnya ujian..
Besarnya ketentuan..
Malah tiada terhitung sesal yang bergelimpangan..
Namun keyakinan pada sebuah kebenaran..
Masih utuh tersemat di dada insan..


Sesudah badai berlalu..
Pelangi pun menyembah indah..
Menghapus airmata dari sebuah wajah..
Seraya mengebumikan kesedihan di pusara sejarah..
Sucinya keikhlasan..
Murninya pertemuan..
Tiada terbilang kesyukuran yang dihidangkan..
Menanti pasti sebuah senyuman..
Mengisi pengalaman meneruskan perjuangan..


Sesudah badai berlalu..
Terserlah jelas kekaburan itu..
Menumbangkan pohon-pohon keliru
Yang sering membayangi akal dan nafsu..
Hingga tersasar dari petunjukMu..
Indahnya kesabaran..
Tenangnya keredhaan..
Tiada tergambar keteguhan yang dianugerahkan..
Bisikan hati kembali melagukan..
Zikir sepi sebuah kemenangan...
Meresapi hati di dasar lautan..

~:::::~

~ Diriku mengucapkan syukur atas ketenangan ini.. Sesungguhnya terlalu kerdil diri untuk membandingkan ketentuan dengan kenikmatanNya.. Setiap kali badai menimpa, terkoyak jua layar kesabaran dan ketabahan yang semakin di mamah usia..Namun berbekalkan semangat dan doa teman seperjuangan, Diriku mampu menjahit layar itu untuk meneruskan pelayaran membelah gelombang yang kadangkala hampir melemahkan genggaman kemudi di tangan..
Sesudah badai itu berlalu,Diriku menyedari satu kenyataan..
"Kita tidakkan mampu terus menentang badai yang mendatang dan layar ini tidak selamanya kan bertahan.. maka persiapkan hati untuk teruskan perjuangan ke pulau impian meskipun terpaksa mendayung menggunakan tangan.." ~
Terima kasih lautan atas kekuatan dan keyakinan..
Diriku..

Tuesday, May 4, 2010

::Izinkan Diriku, Teman.. ::



Izinkan Diriku., Teman..
Menyusuri sungai ukhwah yang jernih ini..
Dihiasi batu-batu bersih penuh keteguhan..
Yang diselimuti kehijauan lumut keikhlasan..
Biarpun kemungkinan Diriku kan tergelincir..
Namun kupasti tenggelam dalam kesyukuran..
Bersama dedaun mimpi yang berguguran..
Memercikkan titis-titis ketenangan..

Izinkan Diriku.., Teman..
Membenamkan luka ke dalam air yang mengalir..
Agar dapat Diriku merasai pedih yang mematangkan..
Dan merasai perit dosa yang mendewasakan..
Moga kesakitan ini mampu mentarbiahkan..
Sekeping hati yang mendamba segugus keredhaan..


Izinkan Diriku.., Teman..
Menanam duka di tebingmu yang subur..
Agar senyuman dan ketawa silam kembali memekar..
Mengubat lara jiwa yang pernah dicalar..
Oleh ketentuan yang rakus mencabar..
Hingga perjalanan Diriku sering tersasar..
Memaksa cinta ini kian terbiar..

Izinkan Diriku.., Teman..
Menghirup nyamannya suasana..
Mengumpul nafas-nafas keindahan ciptaanNya..
Menyusuri arus hembusan kedamaian..
Moga bertambah keberkatan dalam perjuangan..
Persis kehidupan yang penuh kesempurnaan..

Izinkan Diriku.., Teman..
Mencoret nostalgia kemanisan untukmu..
Di pohon kenangan yang merendang..
Moga mampu menaungi sebuah persahabatan..
Dari terik mentari sewaktu siang..
Dan kedinginan bayu tika malam mendatang....
Bersama rahmatNya yang tiada terbilang..


Izinkan Diriku.., Teman..
Memiliki ikan-ikan riang di dasarmu ini..
Menjadi hiburan di saat kesunyian..
Moga tidakku kecewa nanti..
Andai sungai ini kekeringan..
Dalam kemarau takdir yang berpanjangan..
Kerana Dia jualah yang Maha Menentukan..
Hayat sebuah Pertemuan..


:~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~:
~Wassalam~
:::
~Teman yang baik sukar dicari..
Lebih sukar untuk ditinggalkan...
Dan
Mustahil untuk dilupakan.. ~
:::::::::

Monday, May 3, 2010

: :Antara Tahniah dan Takziah ::




Salam.. Diriku mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan salam syukur dan terima kasih kepada saudari MelatiDaisy atas doa dan kiriman nukilan di atas.. Dan juga salam terimakasih kepada semua sahabat yang menghantar sms dan email mengucapkan tahniah di atas ulangtahun kelahiran Diriku..Sesungguhnya tiada yang mampu Diriku nyatakan melainkan harapan agar segala umur yang telah dianugerahkan ini telah memberi sedikit kegembiraan untuk semua dan memohon ke hadratNya jua agar diberikan kekuatan hati untuk terus mengibarkan sayap kehidupan ini..
Sesungguhnya juga, perjalanan usia setakat ini cukup mencabar dan seringkali di isi dengan ketentuan yang tiada berkesudahan.Yang kadangkala membuatkan Diriku terhenti sejenak cuba mengumpul kekuatan diri. Namun dengan kewujudan daerah ini,sedikit sebanyak Diriku mampu untuk melontarkan kata-kata penguat jiwa dan seterusnya dikongsikan seikhlas mungkin dengan teman-teman yang sudi bertandang membawa rahmatNya ke sini. Inilah sebenar-benarnya dunia Diriku... Jazakallah..

::::::::::

Dan jua ketentuan Allah swt sentiasa tiba. Di petang 1 Mei 2010 juga Diriku mendapat sms dari seorang rakan baik memaklumkan bayinya yang baru berusia 3 bln telah kembali ke rahmatullah setelah 3 minggu di ICU, HKL.Hati Diriku begitu hiba kerana di awal pagi menerima sms tahniah darinya dan kemudian terpaksa membalas dengan ucapan takziah.. Buat adik Muhammad Faiz Ridzuan, semoga dirimu ditempatkan di syurga terindah dambaan hamba-hambaNya..Dan buatmu sahabat, tabahkan hatimu.Relakan dengan redha pemergiannya itu.. Allah lebih mengasihiNya dan berkehendakkan dirinya lebih awal di sisiNya untuk mengecap nikmat syurga. Insyallah..

Masih terbayang senyummu, Faiz
Menguntum seri hadirnya dirimu..
Menguat cinta sepasang kasih..
Menghadiah rasa sebuah penantian lalu..



~~..Al ~Fatihah..~~

Thursday, April 29, 2010

: Sempurnakan Ketentuan Ini:



Menyesalkah Diriku nanti
Andai kasih ini tiada beerti
Sedang jasa terkorban sepi
Di tebing curam ditemani sepi..

Menyesalkah Hatiku lagi
Andai cinta terkubur kini
Memadam kenangan seindah mimpi
Menokhtah pilu segugus janji..

Dan mampukah bibirku ini
Menyulam senyum seikhlas hati
Menyulam gurauan penyeri hari
Menyembunyi luka tiada terperi..

Maka kupohon dariMu Ya Illahi
Tetapkanlah hatiku ini
Sempurnakanlah ketentuan ini
Moga tersedar kasihMu jua yang abadi...


~Kehidupan yang penuh dengan ketentuan ini sememangnya menuntut kecekalan jiwa dan kesabaran hati.Namun segalanya mampu diharungi seandainya kita sentiasa percaya bahawa Allah swt yang Maha Pengasih akan memberikan yang terbaik untuk kita..Seperti pelangi yang muncul selepas hujan maka kenapakah kita harus jua mengigil kekecewaan setiap kali hujan menimpa.. Yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui dan Menentukannya.. Payungilah dirimu dengan keredhaan dan selimuti dirimu dengan kesyukuran agar tidak lagi kebasahan dan kesejukan disaat hujan turun menyirami kehidupan.
Maka Diriku percaya bahawa kesempurnaan sesuatu ketentuan adalah apabila kita dapat merasai kasih dan RahmatNya dalam setiap ujian yang dikurniakan kepada kita.Dan sesungguhnya senyuman yang terbit semasa kita dalam penderitaan adalah simbol keredhaan dan kekuatan hati yang nyata..
.Wallahualam..

::::::::::
"Hidup Ini Adalah Keyakinan Dalam Perjuangan..Dan Perjuangan Muslim yang sejati tidakkan tamat selagi kedua-dua belah tapak kakinya telah menginjaki pintu syurgaNya.."
(Imam Ahmad Bin Hanbal)






Monday, April 26, 2010

-: Hipokrasi Diriku.:-



Hipokritkah Diriku.
Jika Seandainya..
Bertahun-tahun menghayunkan langkah ini..
Sedangkan perjalanan hati telah terhenti..
Diam terkunci di dalam kotak realiti..
Bertemankan mimpi-mimpi bertaburan sepi..

Hipokritkah Diriku..
Jua Sekiranya..
Membiarkan senyuman itu menghiasi wajah..
Sedangkan jiwa hiba menangisi gundah..
Mencoret bingkisan kasih yang kian musnah..
Bertemankan kisah-kisah diwarnai pasrah..

Hipokritkah Diriku..
Walau Sesungguhnya..
Setiap langkah ini dihayunkan untuk ibadah..
Setiap senyum ini dikuntumkan sebagai as-sunnah..
Agar sirah hayatku di sini diselimuti al-hidayyah..
Dan ketentuan disisiMu nanti dinaungi al-barrakah..

Kau jualah Ya Allah.. Yang Maha Mengetahui..
Kau jualah Ya Rabbi.. Yang Maha Mengasihani..
Hidup dan Matiku hanya keranaMu..
::~~~~::

p/s: Termenung seketika Diriku memikirkan perjalanan diri.Tertanya pada hati, wajarkah Diriku terus berhiprokrasi.. Apa sebenarnya yang dikejar, dan apa yang sebenarnya yang mengejar.. Mengapa bahtera ini terus berlayar jika lautan semakin surut menampakkan dasar.. Akhirnya Diriku sedar bahawa hidup ini akan ada kesudahannya dan kesudahan itu telahpun ditentukanNya.. Dan sesungguhnya Hipokrasi yang sebenar-benarnya adalah mengingkari perintahNya setelah puas menikmati pemberianNya tanpa bersyukur.. Apatahlagi menggunakan kenikmatanNya itu untuk sesuatu yang sia-sia.. Nauzubillah..

Dan hikporasikah Diriku ini..
Menghitung nikmat tanpa mensyukuri..
Membelai dosa tiada terhenti
Biarpun hati dalam kekaburan
Masih bertanya di manakah kesudahan..
Di tepian Sebuah lautan kehidupan...

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
“Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Kahfi: 45)

Dalam Risalah Mahabbah oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis, beliau mengatakan; "Ramai manusia mencari apa yang belum pasti, sedangkan dia menuju apa yang pasti. Manusia yang bijak adalah, dia hanya mencari dan menuju apa yang pasti. ALLAH s.w.t.-lah yang pasti lagi hakiki. Tangisanmu biar terarah kepada mencariNya, agar jiwamu puas hanya dengan merinduiNya..."
..........

..Terima kasih teman.. kerana sering menginsafkan.
.
Wasalam...

Wednesday, April 21, 2010

: Persoalan Dan Jawapan:


~Kekuasaan & Keagungan Allah SWT~

Ada seorang pemuda mempunyai persoalan yang merunsingkan pemikirannya. Jadi dia ambil keputusan untuk bertanya pada tok imam di kampungnya.

Pemuda: Saya ada tiga soalan yang ingin bertanya pada tok imam:
Soalan pertama; Tunjukkan kepada saya bukti kewujudan tuhan itu?
Soalan kedua; Apa yang dimaksudkan dengan takdir?
Soalan ketiga; Syaitan dan neraka diperbuat daripada api, tetapi mengapakah syaitan dicampak ke dalam neraka dan bukannya kedalam air?
Lalu tok imam menampar pemuda tersebut dan berkata.
Tok imam: Tamparan ini untuk menjawab ketiga-tiga soalan tadi, sakit tak tamparan itu?
Pemuda: Tentulah sakit!
Tok imam: Boleh tunjukkan pada saya rasa sakit itu?
Pemuda tersebut terdiam dan itulah jawapan untuk soalan pertama tadi.
Tok imam: Saya nak tanya adakah malam tadi saudara bermimpi saya akan menampar saudara atau telah tahu saya akan menampar saudara?
Pemuda: Tidak!
Jadi, itulah yg dinamakan takdir, soalan kedua sudah pun terjawab.
Tok imam: Tangan ini diperbuat daripada apa ya?
Pemuda: Tanah!
Tok imam: Jadi tamparan tadi menunjukkan pertembungan antara tanah dan tanah dan itu juga menyakitkan. Jadi, syaitan juga akan berasa kesakitan jika di humban kedalam api.
Terjawab sudah soalan ketiga.
Lalu pemuda itu pulang ke rumah dengan penuh keinsafan
.

p/s : Diriku menyedari bahawa 'Kekayaan yang paling mewah adalah ilmu, kemiskinan yang paling daif adalah jahil.. Kekuatan yang paling utuh adalah aqidah dan kelemahan yang paling rapuh adalah nafsu..' Wallahualam..

:~Mencari BayangaN CahaYa~:



Bayangan ini ..

Semakin di kejar, semakin menjauh meninggalkan diri..

Sekalipun ia berhenti, tidakkan bisa aku dakapi..

Kerana hadirnya cuma seketika..

Lahir kerna wujudnya cahaya..

Yang sentiasa bersinar tanpa suara..

^.......^

Oh..Kenapakah selama ini aku terleka..

Mengejar bayangan yang sebenarnya tiada bermakna

Hinggakan pedih parut mencalari jiwa

Mengapa tidak ku jejaki cahaya

Agar hayatku di sini jelas imannya

Moga jalanku di sana terang sepanjang siratNya

Dan al-Jannah milikku akhirnya..


^.......^

Syukurlah Kini..

Cahaya nan sempurna masih di hadapan..

Menyinari alam dengan rahmat dan keajaiban..

Terus menerus mempamerkan keagungan

Masihkah bayang-bayang itu terus beraja di fikiran?

Dan Cahaya ini cuba dihambakan..?

^.......^

Bersaksikanlah..

Bayangan itu hanyalah Dunia

Dan Cahaya itu adalah Syahadah dan RasulNya..

:.............^...........:

Kekadang kita keliru apa sebenarnya yang ingin kita miliki.. Seringkali kita menyalahkan diri kerana gagal memiliki sesuatu yang di impi.. Pernahkah kita memuhasabah diri, mengukur dengan tulus hati tentang sejauh mana impian itu bermakna untuk diri sendiri.. Dan bertanya pada jiwa adakah puas dengan memiliki impian itu.. Yang pasti, kita semua hanya ada impian dan Dia jua yang akan menentukan.. Mengapa di anggap ia rahmat tatkala impian menjadi hiasan disinggahsana kenyataan sedangkan pantas kita melabel ia suatu ujian jika impian terkubur di tebing harapan.. Kejayaan dan kegagalan adalah lumrah dan keduanya adalah sebenarnya ujian serta rahmatNya kepada setiap insan.. Dan Diriku percaya kejayaan atau kegagalan adalah bayang-bayang dunia maka janganlah membiarkan diri letih mengejarnya hingga melupakan cahaya..

Bayang-bayang hadir kerana cahaya.. Apabila kita mengejar bayang-bayang yang berada di hadapan bermakna cahaya itu sebenarnya di belakang..Maka dekatilah cahaya dihadapanmu dan insyaallah bayang-bayang akan sentiasa mengekori dibelakang.. Itulah ketentuan dan keajaibanNya..Walaallhualam..

Diriku..

Pulau Pangkor..Malaysia.. (1143am)

p/s:~Terima kasih wahai lautan untuk ilham ini..~

Tuesday, March 30, 2010

~AntaRa Api Dan DuRi..~


Tika dihadapanmu penuh berduri..

Dan dibelakangmu penuh berapi..

Kenapa tidak kau memalingkan wajah mu ke langit

Yang terbentang menaungi segenap hidupmu..

Kerana di ataslah tersimpan segala jawapnya

Disitulah terpampang semua hikmahnya

Maka hanya padaNya wajar kau pasrahkan

Dan untukNya jua layak kau korbankan..

Tiadalah sukar untukmu memilih

Andai perjuanganmu suci dan bersih..

Tiadalah wajar untukmu berdalih

Lantas membiarkan butiran persoalan menjadi tasbih..

Biar terluka dalam perjalananmu nanti

Kerana itulah sebenarnya parut-parut kemenangan.

Biar terbakar dalam pengunduranmu ini

Kerana itulah sesungguhnya abu-abu perjuangan..


p/s : Kekadang bila tibanya di persimpangan dalam kehidupan, kita seringkali cuba mencari arah yang betul untuk meneruskan perjalanan.Perasaan buntu dan tidak menentu membuat langkah kita terhenti... Kemudian, Betulkah arah yang telah ku pilih selama ini? Bahagiakah langkah yang bakal ku hayun nanti? Mampukah hati menerima kenyataan yang belum pasti? Atau mungkinkah berulang babak yang pernah melukai hati? Itulah antara persoalan-persoalan yang Diriku yakin sentiasa menjengah tatkala tibanya di persimpangan.Namun yakinlah bahawa setiap daripada kita tidak pernah tersalah memilih..Bahkan setiap pilihan-pilihan itu telahpun ditentukan. Maka Diriku yakin bahawa pilihan yang kita buat tetap yang terbaik untuk kita seandainya kita sentiasa redha dan bertawakal padaNya..

Dan yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dalam apa jua yang tidak kita ketahui... Maka, Teruskan perjalananmu walau berliku kerana itulah sebenar-benar perjuangan.. Yang akan menghasilkan madu-madu kemenangan.. Dan menyerlahkan hakikat sebuah kehidupan..Walahualam..

'...Biar kalah dalam melangkah, dari mengalah pada rasa bersalah..'

Wednesday, March 24, 2010

ERTi LauTaN..

Salam..
Menghabiskan sepetang di tepian pantai seringkali memberikan ketenangan tidak terhingga buat Diriku.. Merenung jauh hikmah dan kekuasaan Yang Maha Esa menjadikan Diriku lebih menginsafi betapa kerdilnya diri ini di bumi Ilahi. Tidak terhitung nikmatNya yang menciptakan alam ini yang sarat dengan misteri dan keindahan. Penuh dengan erti dan kebesaran. Walau berjuta tahun bertapa di atas hamparan pantai ini, tentunya belum mampu Diriku menterjemah segala hikmah tersembunyi.. Lantas teringat pada firmanNya....

"Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur. (Luqman:31)"

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al- Baqarah:64)

Maha SuciNya yang telah menjawab persoalanku, sejak beribu-ribu tahun yang lalu..Terduduk seketika menyaksikan betapa luasnya lautan di hadapan Diriku..Tidak terselam misteri yang terdampar di dasarnya sebagaimana tidak terkira butiran-butiran pasir yang memutih di pantai ini..Namun, setidak-tidaknya, semua ini membuatkan Diriku terasa semakin dekat denganNya.. Dan lebih mengerti bahawa ketentuan kehidupan ini terlalu besar untuk difahami..Tiada yang mampu Diriku lakukan melainkan menyirami benih-benih keredhaan untuk menghadapi setiap ujian dan dugaan sambil terus berjuang mencari kesempurnaan dalam kehidupan..Kerana kehidupan ini sememangnya sangat mencabar kecuali orang-orang yang bertakwa dan dekat padaNya...Insyaalah..

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An'aam:32)

Peliharalah Diriku,Ya Rahmann..
......
Bimbinglah Diriku, Wahai teman..
....................
Teruslah bersamaku, Wahai lautan..
...........................................

Diriku..
@ Kemaman, Terengganu Darul Iman.


Saturday, March 13, 2010

~Sejadah Cinta..~


Berbicara tentang cinta,
Terhidang segenap erti dan makna
Lukisan jiwa menyerlah bahagia
Potret hati mewarnai rasa

Namun fitrah cinta yang hakiki

Hak abadiMu Ya Rabbul 'Izzati.


Demi secebis cinta yang sementara

Rela menggadai denai ke syurga

Menghumban maruah ke lembah dosa

Hingga terlena di ranjang durjana

Berselimut maksiat berbantalkan noda

Namun anehnya,

Pasrah mengharap pintu taubat terus terbuka..?


Demi terjemahan sebuah kebahgiaan

Tanpa sedar tersemailah benih-benih kemusnahan

Yang diagungkan sebagai pengorbanan

Demi sebuah percintaan

Dek kerana kusyuk berkiblatkan nafsu

Bersunnahkan irama berhadithkan lagu

Namun anehnya..
Gerun mendengar talkin ke barzakh yang sayu..?

Pulanglah...

Pulanglah cinta ke dunia nyata

Sujudlah di sejadah cintaNya

Kerana Dialah yang Maha Pencinta

Dan rahmatNya adalah sebenar-benar bahagia...

p/s: ~Cinta yang sebenar adalah kasihsayang yang terbit dari hati yang ikhlas dan jiwa yang redha pada sesebuah ikatan serta ketentuan.. Cintalah pada Maha Pencipta, kemudian cintailah pada keluarga maka insyaallah 'dia' pastikan datang bersama cintanya untuk melengkapkan cintamu pada kedua-duanya..Maka usahlah mengejar sesuatu yang telah ditentukan dan kadangkala telah hadir di depan mata tanpa kita sedarinya... Wallahualam..~

Wednesday, March 10, 2010

Menakhoda Pelayaran..


Samudera yang luas terbentang
Saujana pancaindera ini memandang
Seolah membawa jutaan erti
Bahawa begitu jua hidup ini
Yang mengutus dugaan tiada bertepian
Yang membaris kenyataan tiada berkesudahan
Didalamnya diam tersembunyi seribu rahsia
Sarat dengan misteri dan tandatanya
Manakan mungkin terungkai semua
Cukuplah sekadar disentuh dengan pengetahuan
Dan diselami dengan pengalaman
Agar tidak lemas bersemadi di dasar kelekaan


Lantas di toleh ke tepi
Ahh, suburnya terjemahan setia sang pantai
Sabar menanti di bawah terik mentari
Sambil memerhati sang ketam menjalar ke sana sini
Biar hanya ditemani bebuih kenangan
Yang meresap dan menghilang dicelahan pepasir halus
Namun ia tetap hadiah bermakna
Dari sang ombak yang sesekali membelai
Bersama alunan gemersik sang bayu
Melagukan zikir ketenangan
Menjadi hiburan dan kekuatan saat kesunyian..

Betapa agungnya Maha Pencipta
Yang menciptakan keduanya
Akrab bersama tanpa dipisahkan
Saling menyempurna erti satu ikatan
Dan melengkapi hasrat sebuah perjuangan
Sejak semalam hinggalah ke hari pengadilan..

Terima kasih laut
Atas pengertian yang ku miliki..
Terima kasih pantai
Atas kesetiaan yang kau beri...
Moga tidak ku terkhilaf lagi
Dalam menakhodakan pelayaran roh ini..



Tuesday, March 9, 2010

Noktah Harapan..


Adakalanya..
Dalam kehidupan..
Kita tercari-cari erti..
Mencabar dan di cabar..
Mengejar dan dikejar..
Mengguna dan diperguna..
Menyalah dan dipersalah..
Berpacakkah impian, bernoktahkah harapan..
Andai..Yang dikejar tak dapat,yang dikendong jua bertaburan..

Bertanya pada hati ini..
Apakah masih mampu terus bermimpi?
Atau redha menanti mentari esok menjelma lagi
Yang pasti terbit bersama gerimis ketentuan
'Yang pasti muncul bersama pelangi kehidupan..
Maka biarlah diriku basah dalam dingin kesyukuran..
Dengan restuMu..Oh Tuhan..
Related Posts with Thumbnails