..

Photobucket

Tuesday, May 22, 2012

Warkah buat Diriku..

Assalamualaikum..


Kehadapan Diriku..


Izinkanku menumpang di sini..
melenggok tarian pena hati
meluahkan segala yang terbuku di dada 
yang menzahirkan seribu satu rasa..


Kerana di sini jiwa sepiku bersuara..
kerana di sini akalku lebih bebas berkarya
merungkai patah-patah kata
bercantum menterjemahkan bahasa jiwa..


Kerana di hamparan bisu ini..
ada lautan terbentang luas
dasarnya tenang meskipun di permukaannya gelora menghempas..


Kerana di hamparan bisu ini..
ada ombak yang mencipta tari
ombak rindu si pujangga hati.. melagukan syair cinta saban hari..


Dan pintaku untuk ke sekian kali..



Moga diizinkan mengisi ruangan ini..
mencoret tinta melakar sejarah 
menyemai rasa menyubur ukhwah 
harum mekar di jambangan mardhatillah..


Insha Allah.. bi idznillah....







Hamparan Bisu


Hamparan yang kian bisu
dimamah luka-luka pilu
berguguran titisan sendu
dari sekeping hati yang rindu...

ku intai kenangan semalam
bersulamkan kemesraan berhias keindahan
berirama bayu nan riang
juga desiran ombak tenang..

saat camardi langit bebas berterbangan
saat  ikan  di lautan bahagia menari dan berenang

namun kini satu persatu hilang..

buih-buih pantai itulah kenangan
dihanyut ombak beroleng ke tepian
sesekali dibawa jauh ke lautan..
sekejap hilang luput dari pandangan..

lautan yang berhias karang
kini kontang bak sahara gersang..

bayu yang dulu riang
kini sepi setelah camar hilang...

tinggal aku..
di sini sendiri kaku
bertemankan seribu satu cerita syahdu...




"selagi ada ombak dan laut
selagi ada Rahmat Tuhan
selagi ada waktu selagi ada rindu
biar beribu batu
ingin ku bertemu.."


Tuesday, April 12, 2011

::MERENUNG KEBESARAN::


Terpandang ke dada langit malam

Indahnya kerdipan bintang berselerakan

Bisa menghayut realiti dalam lamunan

Bahawa disebaliknya berlatarkan kehitaman

Tersembunyi sejuta kemungkinan..


Terdengar hembusan bayu nan nyaman

Lembutnya menyapa ke wajah sang fakir

Sehingga tiada tersedar senyum terukir

Membungkus muram sebuah takdir...

Mengikat duka yang sekian lama bermusafir..


Tenanglah hati yang gundah

Basahilah dengan air zikrullah..

Moga dengan merenung kebesaran Allah

Berlalu badai berganti tabah..

Insyaallah..


p/s: Diriku kembali, dengan keberkatan doa seorang teman bersama harapan yang tiada berkesudahan...


(Gambar ini adalah pemandangan UIA yang Diriku ambil buat seorang teman yang sedang berjuang di medan perjuangan ilmu di sana..Jazakallah)

Saturday, January 8, 2011

Akukah Dia..?


Akukah dia..?
Yang mengotori helaian putih ikhlasnya..
Memadamkan nukilan hati penuh redha..
Melunturkan lukisan indah penuh makna..

Lantas mengoyakkan semangat menggapai bahagia
Walau jaraknya hanya seinci cuma..

Akukah dia...?
Yang mengeruhkan kolam jernih kasihnya..
Mematahkan karang-karang yang teguh nan indah
Mematikan keriangan alunan rumpai sejarah
Seraya menenggelamkan kiambang janji bertaut dosa
Hingga kontang segala puisi dan kata-kata...

Akukah dia..?
Yang masih berdiri disini
Memegang obor kekuatan yang hampir padam
Merenung ke kaki langit yang semakin kelam
Menanti hadirnya ribut yang pernah meranapkan impian
Dan menghancurkan hati seorang teman..
Tanpa sempat memohon kemaafan...
Dan benar... akulah dia...
yang serba kekurangan....
dan sentiasa memerlukan ihsanMu,Tuhan..
dan kasihmu,teman..

p/s: Maafkan diriku,teman...

Tuesday, January 4, 2011

~Mencari Cahaya Dalam Terang~



Semalam

Meniti saat-saat nan kelam

Meratapi sisa-sisa yang hitam

Seraya sujud pada Pencinta Alam

Kerana langkah tidak mampu digagahi

Senyum tidak rela didustai

Sedangkan hati hiba menangisi janji

Bersama cinta yang tiada pasti..


Hari ini..

Biarpun telah berlalu segalanya

Walau telah jelas semuanya

Namun mengapa payah untuk mencari sinar

Terlalu sukar mencari benar

Masih jua batil menyelubungi tenang

Memaksa lautan tercari-cari karang ..


Benarlah..

Mudahnya mencari sinar dalam gelita tanpa bayang

Namun terlalu sukar mencari cahaya dalam terang..

................................................ // .....................................





p/s: Diriku kembali.... menemani lautan..

Thursday, July 8, 2010

::Hanya Seutas Pengorbanan ::


Hampir sejam berlalu namun hujan masih belum mahu berhenti.Sesekali kilat menyabungkan cahaya bersama ngauman guruh bergema menguasai suasana. Kelibat ayah dan mak belum jua kelihatan. Aku tercari-cari kehadiran mereka di celah-celah titisan hujan yang kian lebat.
"Mungkinkah mereka singgah di rumah Mak Usu sementara menanti hujan reda?", getus hatiku cuba mematah kerisauan yang mulai tumbuh. Entah kenapa mak beria-ia mengajak ayah ke pekan selepas zohor tadi sedangkan mak tahu malam ini aku akan bertolak ke KL setelah cuti semester mulai berakhir. Sepatutnya aku habiskan petang sebegini bergurau senda dengan mereka; setidak-tidaknya menikmati goreng pisang panas yang aku siapkan sebentar tadi.
"Angah, mak cakap nak balik lewat ke?", soalku pada adik yang leka menonton TV seolah tidak menyedari kerisauan yang menghuni di benakku sejak tadi. Gelengan lemah kepalanya bingkas menjawab pertanyaanku itu.Huh, aku hampa.
Aku menutup kembali jendela pintu, sekaligus menghalang kesejukan suasana terus menceroboh masuk ke dalam ruang tamu. Kerisauan masih menguasai namun beg pakaianku masih belum dikemaskan. Pakaian-pakaian masih lagi berselerak di atas katil. Malas jelas menguasai diri dan hati pula sejak beberapa hari lepas mulai menganyam kerinduan pada kenangan indah yang telah dikutip. Hiruk pikuk kota pun tidak mungkin mampu memadamkan setiap memori yang diwarnai ketenangan dan kedamaian di desa kelahiranku ini.Itu aku pasti, dan kerana itu jugalah aku terasa berat untuk mengemaskan beg pakaian ini.Sekali lagi aku terpaksa jua.

Seketika kemudian nama manjaku dipanggil. "Along! Along!.", sayup kedengaran suara emak cuba menarik perhatianku dari luar bilik. Aku bergegas keluar sambil menatang kerisauanku pada mereka sejak tadi. Alhamdulilah, syukur padaNya kerana kedua orang tuaku selamat pulang walau tampak agak kebasahan dan nyata sekali kepenatan.
"Dah siap kemaskan beg, Along?", emak mematikan pertanyaan yang ingin aku lahirkan sebaik menyambut mereka di ruang tamu."Dah,mak..", pantas aku menjawab. Kerisauan yang menguasai mulai surut sedikit bersama hujan yang kian reda.Senyuman manis mak lantas mengebumikan terus kerisauanku. Lagipun ayah dan mak tentunya penat selepas sejam menaiki kereta yang aircondnya rosak sejak tahun lepas itu. Tidak kena rasanya aku terus bertanya soalan yang memenatkan fikiran sedangkan kesyukuran telahpun aku zahirkan dengan membalas senyuman mereka.

"Along, malam ni ayah dan adik je yang hantar Along ke stesen bas. Mak ada kuliah agama di surau selepas isyak. Minggu ni minggu akhir,rugi tak pergi..", kata Mak tersekat-sekat kerana mengunyah goreng pisang yang terhidang. Ayah menuju ke bilik, menyalin baju agaknya.

"Alaaa..Mak nie.Jom lar..", Aku cuba memujuk dengan harapan yang tipis mengenangkan Mak adalah AJK surau yang membuat kutipan duit untuk membayar saguhati penceramah malam ini.Manakan mungkin dia tidak hadir. "Takpe lah, Along. Ayah hantar dah cukuplah tu." Mak menutup peluangku.Aku faham cuma sedikit sedih. Namun ku berbangga dengan usaha Mak dan rakan-rakannya yang sentiasa cuba mendalami agama dengan pelbagai program yang segala dianjurkan melalui kutipan derma ikhlas. Dan wang derma itu datangnya dari hasil titik peluh mereka dengan menanam padi dan berkebun iaitu sumber rezeki utama para penghuni desa disini.

"Mak, mana rantai mak?",soalku bersahaja menyedari ada keanehan pada susuk tubuh wanita lewat 40-an dihadapanku ini.
"Ada Mak simpan kat bilik..Nak buat apa pakai pergi pekan tadi, malam nak pergi surau pulak.Kenapa? Mak nampak tak cantik ke?", seloroh Mak sambil ketawa lantas diikuti aku yang cuba menghabiskan goreng pisang yang makin hilang kepanasannya.Tinggal 3 potong lagi kami tinggalkan untuk ayah.
Tepat 7.45 malam, ayah memanggilku dari sebelah kereta kesayangannya; Proton Iswara 1.3S tahun 1995 berwarna biru gelap. "Cepat sikit.Nanti kelam kabut pulak..", Ayah menguatkan suara.
"Along pergi dulu yer Mak.." Aku mencium tangan halusnya selepas Angah bersalaman denganku.
"Baiklah..Jangan lupa telefon bila dah sampai nanti. Jangan lupa solat.Nah, belanja baik-baik. Kalau ada masalah,telefon kampung.Jangan main-main sangat.." Mak membebel sedikit tapi huluran sampul kecil berisi duit membuatku terangguk-angguk faham sambil tersenyum. Sayang Mak!
Dan beberapa ketika kemudian, aku mulai menghabiskan malamku dengan berusaha tidur di dalam bas ekspress yang meluncur laju membelah malam yang dingin menuju ke KL. Aku berjaya;untuk tidur.Namun aku masih gagal memujuk hati melepaskan dakapan kedamaian desa yang semakin jauh ku tinggalkan.


~~bersambung....~




Monday, July 5, 2010

::Biarkan Saja::



Biarkan saja
Biarkan ku benam garis-garis luka
Ke dalam lumpur jiwa
Biarkan ia berlumuran mengaburi mata
Dan membusuk menaungi suasana
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan mewangi mengiringi hari

Biarkan saja
Biarkan kasih yang menimbun dinodai
Biarkan cinta bertahun disalah erti
Janji menggunung terbiar sepi
Dan kesetiaan berkurun dicurangi
Demi sebuah keikhlasan hati
Yang kan meredhai balasan nan pasti.


Biarkan saja
Biarkan sejarah hitam berlalu
Biarkan tangisan silam mengalir lesu
Dan kekecewaan karam di lautan palsu
Demi ketentuan Yang Satu
Yang kan menyuburi keikhlasan hatimu


Biarkan saja
Keikhlasan ini tertindas
Biarkan saja
Ketulusan ini terbias
Kerana hanya Dia yang berhak membalas
Sebuah pengorbanan nan suci ikhlas...


~:::~

Keikhlasan hati sebenarnya senjata paling ampuh dalam mendepani apa jua ketentuanNya.. Ikhlas membawa kita pada sebuah kesabaran sekaligus membuatkan hati dipenuhi kekuatan menempuh apa jua ujian... Ikhlas juga membimbing kita untuk menikmati erti keredhaan yang akan mematangkan pengalaman dalam menilai setiap langkah-langkah perjalanan.. Paling penting, ikhlas membunuh bait-bait kekecewaan yang lahir dari sebuah penyesalan dan membelai hati dengan nyanyian syukur pada rasa yang diterima. Sesungguhnya terlalu indah keikhlasan itu.. Dan hanya hati yang benar-benar ikhlas dapat merasai kemanisannya..
Maka, Pejamkan matamu, Ikhlaskan hatimu...dan Sempurnakan perjuanganmu..
Wasalam..

p/s: Salam penghargaan buat teman; melatidaisy atas ilham untuk diriku menukilkan nukilan ini..Dan gambar cantik penghias entry..Jazakallah..





Related Posts with Thumbnails